Nikah : Hukum Memandang Wanita

Hukum Memandang Wanita




Pandangan lelaki terhadap wanita ada 7 jenis :



1. Pandangan lelaki terhadap wanita asing(bukan mahram) tanpa ada keperluan. 


Pandangan ini hukumnya tidak boleh.
Allah Taala berfirman :

Surah An-Nur : 30
Ertinya :
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan."
2.Pandangan seorang lelaki terhadap isterinya atau hamba sahayanya yang wanita.


Dalam keadaan ini, ia boleh melihat seluruh tubuh wanita tersebut kecuali bahagian kemaluannya. Kerana melihat kemaluan hukumnya makruh, apabila dilakukan tanpa keperluan, kerana hal itu menyalahi adab dan tatatusila.
Aisyah r.a. menyatakan :
"Aku tidak pernah melihat (kemaluan) Baginda, dan Baginda tidak pernah melihat (kemaluan)ku."
3. Pandangan seorang lelaki kepada perempuan yang menjadi mahramnya atau hamba sahaya wanitanya yang telah berkahwin.



Pandangan jenis ini dibolehkan kecuali pada bahagian tubuh antara pusat hingga lutut.

Allah Taala berfirman:

An-Nur : 31

"Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki."



Abu Daud(4113) meriwayatkan dari 'Amr bin Syu'aib r.a., dari ayahnya, dari datuknya, ia berkata bahwa Rasulullah saw bersabda :

"Jika seseorang di antara kalian telah menikahkan hamba sahaya lelaki dengan hamba sahaya wanitanya, maka janganlah ia melihat aurat(hamba sahaya wanita)nya."



Dalam riwayat lain disebutkan,
"Maka janganlah ia melihat aurat(hamba sahaya wanitanya) antara pusat dengan lutut."


4. Pandangan seorang lelaki kepada wanita untuk tujuan menikahinya.


Hal ini dibolehkan selama dilakukan pada wajah dan kedua belah tapak tangannya.


Imam Muslim(1424) meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ia bertutur, 


"Aku sedang bersama Nabi saw, lalu datang seorang lelaki dan menceritakan kepada Baginda bahawa dirinya telah memutuskan hendak menikah dengan seorang wanita Ansar. Rasulullah saw bertanya kepadanya,"Apakah engkau telah melihatnya?" Lelaki itu menjawab, "Belum". Baginda berkata:
"Pergilah dan lihatlah dia, kerana pada mata orang-orang Ansar itu ada sesuatu."



Tirmizi(1187) dan ia menghasankannya, meriwayatkan dari al-Mughirah bin Syu'bah r.a., bahawasanya ia meminang seorang wanita, maka Nabi saw berkata kepadanya.


"Lihatlah dia, kerana itu dapat lebih mempererat hubungan antara kalian berdua."


Perintah melihat pada hadis ini hanya terbatas kepada wajah dan kedua telapak tangan, kerana tidak ada keperluan(yang dibolehkan) untuk melihat selain keduanya.


5. Pandangan seorang lelaki kepada wanita untuk perubatan.


Hal ini dibolehkan sebatas keperluan yg diperlukan.
Imam Muslim(2206) meriwayatkan dari Jabir r.a., ia berkata: 
"Ummu Salamah r.a. meminta izin kepada rasulullah saw untuk dirawat, maka Baginda memerintahkan Abu Taibah untuk merawatnya."


Dalam masalah ini, disyaratkan agar wanita yang diubati ditemani oleh mahramnya atau suaminya dan dalam keadaan tidak ada wanita lain yang dapat mengubati. Apabila doktor muslim ada, tidak boleh berubat kepada doktor lain(bukan muslim).


6. Memandang wanita untuk persaksian atau muamalah(jual beli dan lain-lain).


Pandangan jenis ini dibenarkan sepanjang hanya melihat wajah, dan kerana keperluan, kerana apabila tidak dilihat, wanita tersebut tidak dapat dikenali.


7.  Pandangan seorang lelaki terhadap hamba sahaya wanita hendak dibelinya.


Hal ini dibolehkan untuk mengetahui cacat dan sebagainya. Kecuali kepada anggota tubuh antara pusat dan lutut maka dilarang.



Mohamad Zafranudin

Penulis blog biasa AkuCintakanIslam.blogspot.com serta CodeNRecipe.wordpress.com, sedang menyambung pelajaran dalam Bsc(Hons) Computing Science. Gemar menulis code(programming) dan projek elektronik.

Semoga Allah memberkati kita semua, inshaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan