Melihat Allah



Assalamualaeykum w.b.t kepada semua pembaca setia blog ni :)

Saya panjatkan kesyukuran setinggi-tingginya kehadrat Allah swt kerana atas izin-Nya dapat saya berkongsi ilmu tentang "Melihat Allah". Dengan izin-Nya juga, dikurniakan kesihatan keatas saya dengan limpahan rahmat dan kasih sayang Allah swt, Alhamdulillah!

Mari kita fikirkan sejenak. Mengapa kita dapat membaca ayat-ayat yang saya sedang tuliskan ini? Kerana ada batasnya iaitu sepanjang beberapa cm mata anda dari kaca komputer anda bukan? Tulisan-tulisan ini dapat anda lihat kerana ada batasnya, tingginya, rendahnya, lebarnya dan ketebalannya. Begitu juga kita dapat lihat sahabat kita, ibu kita, bumi, langit dan lain-lain.

Tetapi Allah swt itu berbeza dengan ciptaan-Nya. Dia tidak mempunyai batas dan terhad. Sebab itulah kita tidak dapat melihat Allah swt.

Sesuatu yang tidak sempurna tidak dapat melihat sesuatu yang sempurna.

Mari kita lihat sebentar kisah yang Allah wahyukan pada Muhammad saw, mengisahkan Nabi Musa a.s..

Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu". Allah berfirman: "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", Setelah Tuhannya "Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) "TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)
[al-A'raf : 143]


Nabi Musa pernah diseru Allah swt ke bukit Sinai(Thur Sina) untuk menerima wahyu dari Allah 40 hari 40 malam lamanya. Sesudah bercakap-cakap dengan Allah swt, timbul keinginan Nabi Musa a.s. untuk melihat Allah. Nabi Musa a.s. bermohon "Ya Tuhanku, beri kesempatan aku melihatMu". Tuhan menjawab "Engkau tidak akan dapat melihatku ya Musa." Tuhan berfirman lagi : Tetapi cubalah engkau lihat ke gunung itu. Sekiranya gunung itu kukuh di tempatnya itu, maka engkau boleh melihaKu. Lalu Tuhan memperlihatkan diri-Nya terhadap gunung itu.

Apabila Tuhan menunjukkan diriNya pada gunung itu, gunung itu cair dan lenyap sama sekali dari permukaan bumi. Melihat kejadian itu nabi Musa a.s. pengsan. Dan sesudah nabi Musa a.s. sembuh, Nabi Musa a.s. sujud menyembah dan meminta ampun kepada Tuhan, dengan berkata : Maha Suci Engkau ya Tuhan, aku bertaubat meminta ampun, dan akulah orang yang benar-benar beriman pada-Mu.


    Jangankan manusia yang badan lemah, gunung yang kukuh pun tidak sanggup melihat Allah swt. Apabila Tuhan menampakkan diriNya pada gunung, gunung akan hancur. Apabila Dia melihatkan diriNya pada Bumi dan Matahari, semuanya akan berkecai.

Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad saw bersabda :
"Aku pernah bertanya kepada malaikat Jibriel : Pernahkah engkau melihat Tuhan ya Jibriel? Jibriel menjawab : Antara saya dan Tuhan ada 70 lapis dinding(hijab) yang terdiri daripada Nur(cahaya). Bila aku melepasi lapisan Nur paling luar, aku pasti terbakar."
Nyata di sini manusia tidak akan dapat melihat Tuhan.

Dalam hadis lainnya :
"Dari Jurair bahawa Rasulullah saw pada suatu malam melihat bulan purnama, lalu baginda berkata pada orang ramai : "Kamu akan melihat tuhanmu akhirat nanti seperti kamu melihat bulan purnama"
Maka disini kita tahu, pada hari akhirat nanti, kita dapat melihat wajah Allah seperti kita melihat bulan purnama, tidak perlu berebut-rebut melihat Allah, semuanya pasti dapat melihat.

Manusia yang asyik mengelamun, hingga terlampau memikirkan bagaimana rupa Allah, maka akan dihasutlah ia oleh syaitan, maka ia boleh jadi gila atau sawan. Maka kita dilarang sama sekali memikirkan atau membayangkan Allah serta Zat-Nya.

Apa yang kita fikirkan mengenai Allah, Malaikat dan Rasulnya serta perkara ghaib mestilah tidak melebihi garis panduan yang Allah tetapkan pada kita, iaitu Al-Quran. Jangan bazirkan masa untuk mencari wajah Allah, kerana itu sia-sia.

Namun begitu, kita boleh jadikan diri kita seakan-akan melihat Allah dan diperhatikan Allah. Ini yang dapat kita gapai dalam hidup ini. Apabila kita ingin melakukan kejahatan, nescaya kita akan takut kerana merasakan diri diperhatikan oleh Allah.


Di saat kita merenung semua kebesaran Allah, kita akan lupa segala-galanya. Ini yang dinamakan Tarikat "al-Garq"(tenggelam) dalam Allah. Dan kadang-kadang kita akan terlupa pada DIRI KITA SENDIRI, ini yang dinamakan Tarikat "al-Fanaa"(lenyap) dalam Allah. Dan dalam keadaan lenyap/Fanaa inilah kita seakan-akan melihat Allah swt. Subhanallah! Ini adalah tahap zikir atau ibadat tertinggi, tidak ada ibadat lebih tinggi darinya. Semoga kita dapat menggapat Tarikat Al-Fanaa ini dalam beribadat dan berzikir pada-Nya. Ameen!

Mohamad Zafranudin

Penulis blog biasa AkuCintakanIslam.blogspot.com serta CodeNRecipe.wordpress.com, sedang menyambung pelajaran dalam Bsc(Hons) Computing Science. Gemar menulis code(programming) dan projek elektronik.

Semoga Allah memberkati kita semua, inshaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan