Kisah Sedih - Roti Dan Banjir









"Mama adik lapar ni."


Ibu tersenyum, walaupun sudah beberapa kali mendengar keluhan anaknya, dia tidak mampu, aku ibu kejam. Kata hatinya.


Dia pergi ke dapur untuk mengambil cebisan-cebisan roti, yang disimpan semenjak tragedi 5 hari lalu itu. Bahagian yang tidak boleh dimakan, dikupas ketepi. Terpaksa disimpan sedikit sedikit. Kerana sebentar lagi anaknya akan minta lagi. Inilah cara supaya anaknya tidak gelisah tiada makanan.


"Nah dik."


Adik membahagi roti untuk ibunya. Ibunya masih tersenyum. Dari atas hingga ke bawah, ibunya gembira anaknya masih mampu bertahan. Kuat hatimu, seperti hati ayahmu.


Ayah hilang setelah cuba untuk membantu beberapa orang yang lemas. Seorang demi seorang memanggil, lengan ayah semakin lenguh menarik orang, tetapi ayah tetap bersemangat. Ibu risau. Ibu risau jika ayah terlampau lenguh, ayah sendiri tidak mampu berenang selamatkan diri. Sehingga kini ayah belum pulang.


"Adik..."


"Ye ibu?"


"Ibu nak tidur kejap ye. Adik jangan pergi mana-mana sampai orang datang. Ada makanan kat dapur ibu letak atas pinggan untuk adik. Tunggu orang datang ye jangan keluar."


Adik memeluk ibu. Ibu semakin melelapkan mata. Tidur.


Beberapa hari kemudian, bot penyelamat hadir untuk selamatkan mangsa banjir. Sayang, rumah ibu jauh dan sukar untuk sampai. Ibu tidak salahkan mereka. Ibu tidak salahkan ayah. Ibu redha, kerana Ibu tahu Allah tidak mensia-siakan orang beriman.


"Adik, sini adik. Kami nak selamatkan adik. Siapa ada rumah?"


"Ibu, dia tengah tidur."


Mereka turun daripada bot untuk melihat ibunya. Kesemua mereka melelehkan air mata lelaki mereka.


"Ini wanita beriman. Ayuh angkat jenazah, kebumikan di tempat selamat."


Adik cuma melihat orang ramai mengangkat ibu yang memeluk kitab Quran.


"Adik kenapa makan roti tu dik. Dah lama, tak elok. Nah roti baru."


Adik cuma tersenyum.


"Tak, roti ni Allah berkatkan dengan air tangan ibu saya. Tidak pernah basi, dan saya hidup hingga ke harini kerana roti ni yang Allah berkatkan."


Menitis lagi air mata mereka. Anak kecil yang sungguh tabah. Moga kaulah pemimpin kami, pemimpin yang menegakkan agama kami kelak.


"Beri abang sikit roti tu dik. Abang pun mahu rasa keberkatan kasih seorang ibu." katanya sambil menangis tersenyum.


Writen By : Mohamad Zafranudin


Hiduplah dengan berkat. Bukan dengan kekayaan semata. Kerana roti secebis yang berkat, lebih elok daripada segunung nasi tidak berkat.


Wallahu alam.

Mohd Zafranudin

Penulis blog biasa AkuCintakanIslam.blogspot.com serta CodeNRecipe.wordpress.com, sedang menyambung pelajaran dalam Bsc(Hons) Computing Science. Gemar menulis code(programming) dan projek elektronik.

Semoga Allah memberkati kita semua, inshaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan